PELAKON tersohor, Tan Sri Michelle Yeoh merupakan salah seorang seniwati kelahiran Malaysia yang cukup disegani.

Sepanjang berkarya di luar negara, figura asal Ipoh, Perak itu sentiasa mengharumkan nama negara, sementelah kejayaannya meraih Oscar baru-baru ini, sudah cukup untuk meletakkan Michelle sebagai salah seorang selebriti yang berjaya, ‘unproblematic’ tanpa sebarang kontroversi.

Sehinggalah pelakon filem Crazy Rich Asian itu mengumumkan yang dia kini merupakan duta kepada sebuah jenama fesyen popular antarabangsa.

Hal ini kerana, jenama berkenaan sendiri pernah mencetuskan kontroversi apabila menggunakan kanak-kanak sebagai model kempen fesyen dan memasukkan elemen BDSM dan seks ganas sebagai konsep bagi sesi fotografinya.

Susulan daripada itu, ruang komen di Instagram Michelle dipenuhi dengan kritikan negatif dan memberi justifikasi terhadap apa yang pernah berlaku.

Terdahulu, selebriti Kim Kardashian turut menerima kecaman kerana kembali memperagakan busana dari jenama yang sama, sungguhpun telah memutuskan kerjasama dengan jenama itu ketika didesak netizen untuk berbuat demikian. - Gempak